Pages

Saturday, March 29, 2014

TM ambil alih P1 Wimax

PENGAMBILALIHAN 57 peratus kepentingan dalam Packet One Network (Malaysia) Sdn Bhd (P1) oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka membolehkan TM menawarkan pakej penuh bersepadu dalam perkhidmatan komunikasinya di negara ini, menurut firma penyelidikan Kenanga Research.
P1 adalah syarikat penyedia perkhidmatan jaringan jalur lebar mudah alih atau Wimax.

Dalam notanya semalam, Kenanga Research mengambil pendekatan neutral terhadap perkongsian dan kerjasama antara TM dengan pemilik P1 iaitu Green Packet Bhd (Green Packet) dan syarikat telekomunikasi Korea Selatan, SK Telecom.

"Bagaimanapun, kami percaya pasaran mungkin memberi reaksi refleks yang negatif (terhadap pengambilalihan itu) memandangkan P1 adalah syarikat yang sedang mengalami kerugian.

"Namun kesan kewangan hanya boleh dinilai selepas pihak pengurusan mengeluarkan maklumat pelan perniagaan P1 dalam tempoh beberapa bulan lagi," menurut Kenanga Research.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) dalam notanya semalam berkata, melalui perjanjian antara ketiga-tiga syarikat itu, TM akan memiliki 57 peratus saham dalam P1 manakala Green Packet dan SK Telecom masing-masing akan memegang 30 peratus dan 13 peratus saham.
"TM jelas sekali menyimpan hasrat tinggi (dalam perkhidmatan) tanpa wayar dan ini boleh memberi kesan kepada syarikat telekomunikasi utama lain.


"Buat masa ini, pengurusan menekankan fokus bagi pihak TM adalah lebih kepada kesepaduan perkhidmatan, berbanding untuk bersaing secara langsung dengan syarikat telekomunikasi lain," menurut Maybank IB.

Suntikan modal dijangka stabilkan P1 Wimax

Menurut Maybank IB, tempoh beberapa bulan pertama selepas pengambilalihan P1 oleh TM dijangka digunakan untuk menstabilkan perniagaan Wimax yang kini dilihat berhadapan masalah kualiti jaringan yang menurun, berkemungkinan disebabkan kekurangan pembiayaan.
"Suntikan modal baru dalam P1 boleh menyelesaikan masalah ini," menurut Maybank IB.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, bagi peringkat permulaan, syarikatnya akan melaburkan RM350 juta ke dalam P1 menerusi langganan saham-saham biasa baharu.

“Kami juga akan menambah pelaburan bernilai RM210 juta ke dalam Green Packet menerusi bon-bon boleh tebus baharu dikeluarkan,” katanya selepas menandatangani perjanjian pelaburan dengan Green Packet dan SK Telecom di Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjanjian itu adalah untuk membangunkan infrastruktur evolusi jangka panjang (LTE) generasi akan datang bagi perkhidmatan komunikasi bersepadu yang lengkap.

Katanya, usaha sama itu juga akan mewujudkan rangka kerja buat ketiga-tiga pihak bekerjasama untuk pertumbuhan masa depan P1, sebagai pembekal Wimax terkemuka negara.

Perjanjian pelaburan itu akan berkuat kuasa apabila selesai semua syarat termasuk kelulusan kawal selia dan pemegang saham Green Packet dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

P1 akan mengguna pakai aset spektrumnya, iaitu landasan tanpa wayar sedia ada di hampir 2,000 lokasi di seluruh negara dalam mempercepatkan kemasukannya ke dalam pasaran LTE.

0 comments:

Post a Comment