MUKAH - Sehingga awal bulan ini, 140,296 peserta mengambil bahagian dalam program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang dilaksanakan sejak awal 2011, khusus bagi menambah pendapatan golongan miskin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kira-kira 65 peratus daripada jumlah itu adalah daripada kalangan kaum wanita.
Beliau berkata di samping melancarkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatan golongan ini, pihaknya turut menyalurkan mesej bahawa banyak lagi program membina kecemerlangan sedang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional secara berterusan.
"Di Sarawak kira-kira 25,621 peserta menyertai program 1Azam ini," katanya dalam persidangan media selepas merasmikan kursus memproses makanan di Dewan Masyarakat Kampung Telian Ulu di sini hari ini.
Program 1Azam dibahagikan kepada enam inisiatif terdiri daripada AZAM Tani yang memberi tumpuan terhadap pertanian dan aktiviti berasaskan pertanian, AZAM Niaga (perniagaan kecil), AZAM Kerja (penyesuaian kerja/penempatan kerja), AZAM Khidmat (perkhidmatan, bekerja sendiri); dan 1AZAM Sabah dan 1AZAM Sarawak yang meliputi semua inisiatif itu. - Bernama
0 comments:
Post a Comment